11 October 2013

‘Datuk Seri’ kasanova Facebook cabut lari

SUSPEK
Georgetown: Lelaki yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika berada di Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin, adalah suspek ‘kasanova Internet’ yang pernah menyamar sebagai doktor untuk menipu wanita.
Suspek juga pernah menyamar mempunyai gelaran ‘Datuk Seri’ untuk memperdayakan mangsanya hingga sanggup menyerahkan barang kemas, wang tunai atau barang berharga lain.
Lelaki terbabit berdepan pendakwaan dan perbicaraan membabitkan 10 kes penipuan di negeri ini.
Berikutan kejadian itu juga, seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan bagi membantu siasatan.



Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, suspek yang meloloskan diri itu dikenal pasti sebagai K Prabaharan, 45, dengan alamat terakhirnya di No 26, Taman Mas, Ipoh, Perak.

Menurutnya, lelaki terbabit mempunyai ketinggian 1.5 meter dengan berat 50 kilogram, berambut pendek dan bermisai nipis.
“Suspek sedang berhadapan dengan perbicaraan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk empat kes di Timur Laut dan masing-masing dua di Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

“Selain itu, suspek juga mempunyai satu kes di Ringlets, Cameron Highlands di Pahang dan turut memiliki rekod kesalahan serta amat dikehendaki polis di Segamat, Johor, Sungai Petani, Kedah dan Taiping, Perak,” katanya.

Menurutnya, pegawai polis yang ditahan itu pula direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengenai kejadian suspek berjaya meloloskan diri.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan, Seksyen 224 kanun yang sama dan Seksyen 225(a).

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan dibawa anggota polis pengiring dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, Pahang ke Penjara Pulau Pinang, sebelum dihubungi seorang pegawai polis wanita terbabit untuk dibawa ke pejabatnya.

Suspek diminta dibawa ke pejabat pegawai terbabit dengan alasan lelaki itu mempunyai kes sebutan di Mahkamah Sesyen Georgetown.

Ketika berada di pejabat pegawai polis terbabit, suspek yang berkemeja-T ungu dan seluar pendek coklat dan masih bergari berjaya meloloskan diri.

Selepas hampir dua jam usaha mengesan suspek gagal menemuinya, satu laporan polis mengenai kehilangannya dibuat.

Pada Februari lalu, akhbar ini melaporkan suspek yang juga seorang juruteknik komputer mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan di tiga mahkamah berasingan membabitkan penipuan terhadap lima wanita dan seorang remaja perempuan pada tahun lalu.

Prabaharan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown atas tuduhan menipu tiga wanita berusia 29 hingga 68 tahun.

Lelaki terbabit juga didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana dituduh memperdayakan seorang wanita menyerahkan barang kemas dan kad mesin juruwang automatik (ATM) sebagai janji untuk berkahwin dengannya.

Suspek turut didakwa di Mahkamah Majistret Jawi kerana menipu dua wanita yang juga adik-beradik berusia 16 dan 45 tahun untuk menyerahkan sepasang subang emas, wang tunai sebanyak RM10,000 dan seunit telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Y.

Lelaki terbabit dikatakan menipu semua mangsanya dalam kejadian antara September hingga November lalu.

Suspek dikatakan berkenalan dengan semua mangsanya itu menerusi laman sosial Facebook (FB) sebelum mengumpan dengan kata-kata manis termasuk berjanji akan berkahwin.

Dia juga dilaporkan pernah menggunakan nama seperti Shiva Nair, Dr Ragunathan Nair, Ragu dan Keeran Raj untuk memperdayakan mangsanya.

No comments:

Post a Comment